Monday, April 7, 2014

Panduan Solat Sempurna dan Khusyuk

Prof Madya Dr. Hasnan Kasan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hasnan, adalah merupakan seorang pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan lulusan Universiti Al-Azhar. Beliau telah membuat kajian yang mendalam tentang solat selama beberapa tahun dan telah menulis sebuah buku yang bertajuk "Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat".


ustaz hasnan solat

Buku tersebut kini turut diterbitkan di dalam bentuk ebook dengan judul "Rahsia Solat".


Di dalam ebook tersebut, pembaca akan didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan solat. Dari topik pengenalan tentang keistimewaan solat, kunci-kunci untuk khusyuk dalam solat, penerangan secara terperinci tentang maksud bacaan-bacaan dalam solat serta apakah kesan-kesan yang akan diperolehi apabila seseorang itu dapat mengerjakan solat dengan sempurna dan terbaik.

Berikut adalah senarai isi kandungan di dalam ebook tersebut. Ianya adalah setebal 95 mukasurat, dan di dalam format PDF.


Bab 1 : Hukum Solat  


  • Solat Di Sisi Fuqahak
  • Keistimewaan Solat
  • Hukum Orang Yang Meninggalkan Solat
  • Balasan Orang Yang Meninggalkan Solat Selepas Mati
  • Kedudukan Solat Dalam Kehidupan
  • Enam Kunci Khusyuk Solat
  • Faktor-Faktor Penting Yang Membawa Kepada Khusyuk Dalam Solat


Bab 2 : Bacaan-Bacaan Dalam Solat



  • Doa Iftitah
  • Al-Fatihah
  • Tasbih Ketika Rukuk
  • Tahmid Ketika Iktidal
  • Tasbih Ketika Sujud
  • Doa Ketika Duduk Antara Dua Sujud
  • Doa Tasyahud/Tahiyyat
  • Doa Qunut
  • Amalan-Amalan Solat
  • Beberapa Adab Solat


Bab 3 : Kesan Solat Yang Ditunaikan Dengan Sempurna Zahir Dan Batin



  • Menghapus Segala Dosa
  • Mendidik Anggota Mempraktikkan Akhlak Mulia Dan Menghalang Daripada Melakukan Perbuatan Keji Dan Mungkar
  • Beroleh Ketenangan Dan Kerehatan
  • Membangkitkan Semangat Melakukan Kerja Kebaikan Terutama Kewajipan
  • Berhati-Hati Dalam Tindak Tanduk Seharian Dan Merasai Muraqabatullah
  • Mendapat Petunjuk Allah Dalam Menentukan Hala Tuju Hidup Dalam Segala Aktiviti Yang Dilakukan
  • Mengukuhkan Kesabaran Dan Keupayaan Menghadapi Cabaran
  • Memperkukuhkan Tali Persaudaraan Dan Perpaduan


Selain dari ebook, satu rakaman juga telah berjaya dibuat ketika Ustaz Hasnan mengendalikan "Bengkel Pemantapan Solat" kepada sebilangan pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia. Bengkel selama satu hari ini telah berjaya dirakamkan dan dipecahkan kepada 4 buah video.


Video 1 : Pengenalan Tentang Solat

Di dalam video ini Ustaz Hasnan mengupas tentang rahsia-rahsia dalam solat. Memahami maksud kejadian manusia sebagai hamba Allah. Serta bagaimana cara yang sebenar untuk mengerjakan solat mengikut cara nabi.

Durasi : 33 minit


Video 2 : Memahami Bacaan Dalam Solat

Dalam video ini, Ustaz Hasnan membincangkan dengan mendalam maksud-maksud bacaan dalam solat, terutamanya Surah Al-Fatihah. Kita akan mula faham apakah erti sebenar di sebalik setiap perkataan yang kita lafazkan di dalam solat itu.

Durasi : 1 jam, 19 minit


Video 3 : Membetulkan Perbuatan Di Dalam Solat

Pada video ini, Ustaz Hasnan menunjukkan cara mengangkat takbir, rukuk, sujud, dan semua perbuatan dalam solat yang sebenar sepertimana solat Nabi Muhammad S.A.W.

Durasi : 1 jam, 40 minit


Video 4 : Sesi Soal Jawab

Pelbagai persoalan dan kekeliruan tentang solat, telah diajukan oleh peserta bengkel kepada Ustaz Hasnan, dan semua persoalan tersebut telah dijawab oleh Ustaz Hasnan dengan jelas menerusi video ini.

Durasi : 50 minit

Dan banyak lagi. Ia memang satu panduan lengkap untuk mereka yang ingin mendapatkan panduan mengerjakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna.

Dapatkan segera! Klik sahaja link di bawah ini.



Semoga pelaburan kecil anda terhadap ilmu ini, akan dapat memberikan manfaat dan memantapkan lagi amalan solat yang anda lakukan di masa hadapan.

Salam Ukhuwah!

4 Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Solat



4 Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Solat


# PERKARA 1 : TEMPAT-TEMPAT YANG DILARANG UNTUK SOLAT
  • Kawasan perkuburan. 
  • Gereja dan Candi/Biara. 
  • Tempat-tempat pembuangan kotoran binatang. 
  • Tempat penyembelihan binatang . 
  • Tengah-tengah jalanraya.
  • Tempat perteduhan binatang .
  • Tempat pemandian umum. 
  • Atas bumbung kaabah.


# PERKARA 2 : SYARAT-SYARAT SOLAT
  1. Beragama Islam
  2. Baligh
  3. Suci daripada hadas
  4. Suci seluruh anggota badan, pakaian dan tempat.
  5. Menutup aurat. Aurat bagi wanita,seluruh tubuhnya kecualai muka dan kedua tapak tangannya. Sedangkan aurat bagi laki-laki ialah antara pusat dan lutut.
  6. Telah masuk waktu solat yang telah ditentukan.
  7. Menghadap ke arah kiblat
  8. Mengetahui mana yang termasuk rukun dan mana yang sunat.


# PERKARA 3 : RUKUN-RUKUN SOLAT 
  1. Niat
  2. Takbiratul Ihram
  3. Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardhu dan bagi yang tidak berkuasa, disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring , telentang atau dengan isyarat.
  4. Membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat.
  5. Rukuk dengan toma`ninah.
  6. I`tidal dengan toma`ninah
  7. Sujud dua kali dengan toma`ninah
  8. Duduk antara dua sujud dengan toma`ninah
  9. Duduk tasyahud akhir dengan toma`ninah
  10. Membaca tasyahud akhir
  11. Membaca selawat ke atas nabi pada tasyahud akhir
  12. Membaca salam yang pertama
  13. Tertib ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut.


# PERKARA 4 : PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT 
  1. Jika salah satu syarat rukunnya tidak dikerjakan atau sengaja ditinggalkan
  2. Terkena najis yang tidak dapat dimaafkan .
  3. Bekata-kata dengan tidak sengaja walaupun dengan satu huruf yang ada pengertian
  4. Terbuka auratnya
  5. Makan minum walaupun hanya sedikit
  6. Mengubah niat, misalnya ingin memutuskan solat
  7. Bergerak berturut-turut tiga kali seperti melangkah atau berjalan
  8. Membelakangi kiblat
  9. Menambah rukun yang berupa perbuatan seperti rukuk dan sujud.
  10. Tertawa terbahak-bahak
  11. Mendahului imamnya.
  12. Murtad ( terkeluar daripada agama Islam).


Sunday, April 6, 2014

Maksud Setiap Bacaan Dalam Solat

maksud setiap bacaan dalam solat



# 1. Maksud Takbiratul-Ihram / Takbir

Allah Maha Besar.



# 2. Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. 
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. 
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. 
Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.



# 3. Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. 
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. 
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 
Yang menguasai hari pembalasan. 
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. 
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.



# 4. Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.



# 5. Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.



# 6. Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.



# 7. Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.



# 8. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.



# 9. Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. 
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. 
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.



# 10. Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.



# 11. Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. 
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. 
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. 
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. 
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. 
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. 
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. 
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. 
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. 
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. 
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. 
Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.

Saturday, April 5, 2014

Erti Solat



erti solat

# ERTI SOLAT


  • Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. 
  • Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.


# WAKTU SOLAT

Waktu solat fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. 

Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:


"Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’ ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.” 

Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:

1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.

2. Waktu ‘Asar bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.

3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.

4. Waktu ‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.

5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.

Friday, April 4, 2014

Waktu Waktu Solat

waktu solat


#Solat Zohor

Waktunya dimulai sejak matahari tergelincir ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul panjangnya dengan benda itu. Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

#Solat Asar

Waktunya dimulai setelah waktu Zohor habis, iaitu ketika bayangan sesuatu benda sama panjang dengan bendanya dan berakhir setelah terbenamnya matahari. Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

#Solat Maghrib

Waktunya dimulai setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila mega merah telah hilang. Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

#Solat Isyak

Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq. Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

#Solat Subuh

Waktunya dimulai setelah terbit fajar shadiq sampai terbitnya matahari. Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun solat dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Thursday, April 3, 2014

Kepentingan Kesempurnaan Solat

rahsia solat

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."


Surah Al-Ankabut , Ayat 45


Wednesday, April 2, 2014

Sebab Kita Wajib Solat

sebab kita wajib solat

Solat adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.

"Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)

1. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)

2. Solat adalah tanda kesyukuran. Seorang Muslim yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah SWT kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.

3. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:

"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis Riwayat Muslim)

4. Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)

5. Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!

"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)

6. Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.

Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.